Naik taraf Balingian jadi daerah penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian di Mukah perlu dinaik taraf menjadi daerah penuh mengambil kira kawasannya yang luas, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.

Katanya, daerah kecil Balingian yang berkeluasan 3,025 kilometer (km) persegi telah wujud sebelum Malaysia ditubuhkan.

“Selaras dengan ini, kita mohon agar Daerah Kecil Balingian dinaik taraf ke daerah penuh,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) turut memohon agar Bandar Satelit Mateding turut direalisasikan bagi menyokong aktiviti ekonomi dan perindustrian yang semakin berkembang di rantau ini dengan menyediakan kemudahan kediaman, komersial dan komuniti.

Jelasnya, Bandar Satelit Mateding ialah projek pembangunan bandar terancang di Sarawak, iaitu di bawah inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan diuruskan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Selain itu, Abdul Yakub turut mengutarakan agar Projek Alaf juga dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi manfaat pendidikan, ekonomi dan kualiti hidup kepada rakyat.

“Kita berharap dengan adanya peruntukan RM20 juta Belanjawan 2025, akan mempercepatkan pelaksanaan projek yang sudah lama ditunggu oleh rakyat,” ujarnya.