Pesta Benak Sri Aman mulai 29 November hingga 1 Disember

KUCHING: Temasya ikonik, Pesta Benak Sri Aman yang memasuki Edisi Ke-21 tahun ini akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar.

Tun Wan Junaidi bersetuju menghadiri pada majlis penutupan yang akan berlangsung pada 1 Disember depan.

Perkara itu diumumkan oleh Penasihat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Datuk Francis Harden Hollis semasa mengetuai delegasi mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi di Kesuma Resort, di sini, hari ini.

Francis Harden yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Bakat berkata, temasya ini dijangka menarik ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelancong dari luar negara.

“Pesta Benak kali ini menjadi edisi pertama yang bakal beliau hadiri sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” ujarnya.

Perasmian pula akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 29 November ini.

Antara acara menarik termasuk pertandingan Miss Tourism, regata dan pesta ria.