ADUN Jepak mohon bina Pusat Konvesyen Jepak, Pusat Perhentian R&R

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak memohon Kerajaan Sarawak membina Pusat Konvensyen Jepak (JCC) di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini selari dengan perubahan landskap pembangunan di Jepak susulan Jambatan Bintulu Jepak yang bakal siap pada tahun hadapan.

Beliau turut mohon kemudahan terbabit berikutan kepesatan industri minyak dan gas dan tenaga baharu di Bintulu.

“Sudah pasti pelabur iaitu Pelabur Langsung Asing akan menganjur seminar, konvesyen, kursus dan sebagainya yang bertaraf antarabangsa di Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) Bill, 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Iskandar berkata, kewujudan JCC ini akan melengkapkan keperluan dan secara tak langsung mempromosi Sarawak di peringkat antarabangsa serta menjana ekonomi Sarawak.

Selain itu bagi memperkasakan usahawanita di luar bandar, khasnya di Kuala Tatau, beliau memohon agar dibina Pusat Perhentian R&R Kuala Tatau.

Katanya, pusat terbabit sebagai laluan jalan raya pesisiran dari Bintulu ke Balingian.

“Pusat ini menyediakan ruang niaga bersesuaian dengan produk tempatan dari hasil produk perikanan, pertanian dan kraftangan,” katanya.