RM3.6 bilion untuk pemerkasaan institusi keluarga tahun depan

LUNDU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diperuntuk sebanyak RM3.6 bilion bagi merealisasikan agenda pemerkasaan keluarga di negara ini tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini menerusi Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, bulan lalu.

“KPWKM terus diberi kepercayaan untuk merealisasikan agenda pemerkasaan keluarga di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM3.6 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Kem KASIH Keluarga dan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Pantai Pugu, di sini, hari ini.

Nancy berkata, Belanjawan 2025 menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperkukuhkan institusi keluargaan tanpa mengabaikan adab dan susila.

Justeru, katanya pihaknya akan merancang dan melaksanakan program-program yang akan memanfaatkan masyarakat.

Beliau juga mendedahkan Berdasarkan Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga 2022, kesejahteraan keluarga di Malaysia adalah pada tahap sederhana tinggi dengan catatan skor 7.93 daripada skala maksimum 10.

“Indeks ini mencatatkan peningkatan berbanding 2019 dengan catatan skor 7.72,”katanya.

Menurutnya, bagi Sarawak, skor yang dicatatkan ialah 7.82 iaitu berada pada tahap sederhana berbanding 7.78 pada 2019.