KUCHING: Mantan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut, Fatimah @ Rokiah Temben diraikan dalam majlis jamuan malam Majlis Tautan Kasih Jasamu Dikenang di Hotel Waterfront, malam tadi.
Majlis anjuran Wanita Cawangan Demak Laut sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti Rokiah sepanjang berkhidmat dalam parti.
Rokiah yang kini berusia 73 tahun dianggap sebagai wanita di Cawangan Demak Laut paling lama berkhidmat sebagai Ketua Wanita iaitu sejak kawasan pilihan raya diwakili mantan ADUN Demak Laut, Datuk Dr Abang Rauf Abang Zen sehingga sekarang Datuk Dr Hazland Abang Hipni yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Sehubungan ini, Rokiah menghargai dan berterima kasih kepada semua mantan wakil rakyat di P.193 Santubong daripada Dato Sri Rohani Karim, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak) serta kini Dato Sri Nancy Shukri dan mantan ADUN, Dr Abang Rauf dan kini Datuk Dr Hazland kerana sentiasa memberi tunjuk ajar dan kerjasama dalam menjalankan tugas untuk parti dan masyarakat.
Berucap pada majlis itu, Rokiah mengingatkan wanita parti di kawasan Demak Laut supaya terus menyokong dasar parti dan pimpinan PBB khasnya Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ADUN Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Ahli Parlimen (P. 193 Santubong) Dato Sri Nancy Shukri.
Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Rokiah menghargai sumbangan wanita PBB Cawangan Demak Laut kerana mengadakan majlis berkenaan.
Beliau berharap pemimpin dan ahli jawatankuasa Wanita PBB Demak Laut yang baharu ini akan terus mampu menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Ketua Wanita PBB Demak Laut yang baharu, Masalia Suhai memberitahu, majlis itu diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah disediakan oleh mantan ketua wanita PBB sebelum ini.
“Kepada ketua Wanita PBB yang baharu, saya berharap agar kita akan terus sama berjuang dalam mengukuhkan hala tuju parti kita,”katanya.
Turut hadir ialah Penghulu Ali Mat Shah dan Timbalan Ketua Cawangan PBB Demak Laut, Rahmat Abang.
