KUCHING: Seramai 113,655 warga emas berdaftar dan layak menerima Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di Sarawak pada November 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini merujuk rekod pendaftaran SCHB, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
Katanya, inisiatif Kerajaan Sarawak itu menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai di Klinik Panel dengan had maksimum RM500 seorang setahun dan berkuat kuasa mulai 22 Julai 2024. Ia kemudian dilancar Premier Sarawak 10 Ogos 2024.
“Sejak inisiatif ini dilaksanakan mulai Julai sehingga November 2024, seramai 27,398 warga emas
menggunakan SCHB membabitkan perbelanjaan RM3,843,486.28,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Pendaftaran dan Sesi Libat Urus Kenyalang Gold Kad (KGC) dan SCHB Bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Pusat Khidmat ADUN, Pertubuhan dan Persatuan serta NGO di Bahagian Kuching, di Wisma Sabati, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman.
Fatimah berkata, setakat ini terdapat sebanyak 222 pusat rawatan swasta telah berdaftar di JKM Sarawak sebagai klinik atau hospital panel SCHB.
“Manakala di Kuching, terdapat 102 pusat rawatan swasta sebagai klinik atau hospital panel SCHB,” tambahnya.
