KUCHING: Lebih 1,500 guru baharu di Sarawak yang berjaya dalam proses temu duga akan memulakan tugas di seluruh negeri menjelang pertengahan Januari 2025.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai menjalankan proses temu duga dan keputusan dihantar kepada calon yang berjaya.
“Calon-calon telah menerima keputusan masing-masing dan kini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan penempatan melalui sistem e-graduan.
“Saya dimaklumkan bahawa penempatan akan selesai dan mereka dijangka memulakan tugas di seluruh Sarawak pada pertengahan Januari,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini selepas dilantik sebagai Pengarah JPNS yang baharu.
Tambah beliau, daripada lebih 12,000 calon yang disaring, 1,500 calon berjaya dipilih untuk memenuhi keperluan penempatan yang mana seramai 300 guru baharu akan ditempatkan di sekolah menengah, manakala selebihnya akan bertugas di sekolah rendah.
“Langkah ini diharap dapat menangani masalah kekurangan guru terutamanya di luar bandar dan pedalaman, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan di Sarawak,” tambah Omar.
Dalam pada itu, Omar menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya melalui sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).
Langkah ini tegasnya penting untuk memastikan dasar pendidikan serta program baharu dapat difahami dan diterima dengan baik oleh masyarakat.
Omar yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) di KPM sebelum ini menggantikan Datu Dr Azhar Ahmad yang bersara pada November lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Abang Johari dan Kerajaan Sarawak atas sokongan terhadap usaha JPNS dalam memajukan sektor pendidikan di negeri ini.