SIMANGGANG: Program Sunathon Khatan 2025 bagi kanak-kanak berkhatan beramai-ramai akan dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga semasa cuti sekolah Februari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di DUN Lingga diharap mengambil peluang program ini.
Ia bertujuan menghidupkan semula budaya berkhatan beramai-ramai selain membantu meringankan beban mereka.
“Borang boleh didapati di Pejabat Pusat Khidmat DUN Lingga bermula minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Santai BBQ anjuran Rakan Seperjuangan Rekreasi dan Sosial, JKKK Kawasan Ladong/Stumbin di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang di sini.
Dayang Noorazah berkata, pihaknya juga turut menjemput ibu bapa dari kawasan Kampung Muhibbah, Taman Harmoni dan kawasan perumahan sekitarnya di sini untuk menghantar anak mereka menyertai program itu tahun depan.
Selain itu, Dayang Noorazah menjelaskan Pusat Khidmat DUN Lingga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mencari lokasi sesuai bagi menyediakan tapak jualan bazar Ramadan tahun depan.
“Kita juga akan memberikan harga istimewa kepada peniaga untuk sewaan tapak tersebut,” katanya.
Turut hadir ialah Temenggung Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Rosli Ana, Penghulu Wan Amit Wan Kamil, Timbalan Ketua PBB Cawangan N28 Lingga, Suhaidi@Roslan Los dan Ketua Pemuda Pergerakan PBB Cawangan N28 Lingga, Abdul Rahim Jamil.
