Masalah banjir bermusim Spaoh selesai

SPAOH: Masalah banjir bermusim yang sering melanda Spaoh dan kawasan persisirannya diselesaikan dengan pembinaan tiga pintu kawalan air pasang surut di Sungai Spaoh di sini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika melawat kawasan dermaga itu semalam melahirkan rasa puas hati.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bernilai RM500,000 itu siap lebih awal daripada tarikh siap Mei 2025.

“Setakat ini, projek itu berfungsi menghalang air daripada masuk. Dulu, setiap kali hujan lebat dan Sungai Spaoh melimpahi tebingnya, kami mengalami banjir di sini.

“Kita juga sedang menyemak projek penambahbaikan lain termasuk laluan pejalan kaki dan gazebo,” katanya semasa melakukan tinjauan terhadap beberapa projek di kawasan tersebut hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu merasmikan pembukaan jambatan pejalan kaki konkrit BDDA bernilai RM1 juta di Rumah Panjang Samu.

Jambatan sepanjang 90 meter (m) itu juga telah siap sebelum tarikh siap Mei tahun depan.

Satu lagi projek yang mereka lawati ialah Jalan Ulu Penom/Ulu Bayor/ Ulu Paku sepanjang 1.4 kilometer (km) iaitu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM450,000 itu juga mendahului tarikh siap pada April 2025.

“Kami berharap dapat mengetahui status pelaksanaan keseluruhan RTP yang lain, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan lain-lain bagi kawasan DUN Bukit Saban pada taklimat yang akan diadakan awal tahun depan.

“Kami juga telah mengadakan perbincangan dan penglibatan berkaitan RTP untuk 2025.

“Pusat khidmat kami akan membantu semua agensi pelaksana dalam membuat Bil Kuantiti (BQ) termasuk kos masing-masing yang akan ditentukan menjelang Mac,” katanya lagi.

Mengenai perkara lain, Uggah gembira mengetahui bahawa AgroBank juga sedang dalam usaha untuk menyediakan kemudahannya di pasar baharu Spaoh.