MIPD dapat bajet pembangunan RM1.31 bilion

MARUDI: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) mendapat peruntukan bajet pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak sebanyak RM1.31 bilion tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Ifrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bajet pembangunan untuk tahun ini, 64 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2024.

Bagi Daerah Marudi sahaja, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 20 projek infrastruktur bernilai RM616 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), katanya dalam ucapan aluan Majlis Pembukaan Jambatan Marudi, di sini, hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan perasmian jambatan di sini, hari ini.

Jambatan sepanjang 650 meter (m) itu berharga RM116.5 juta.

Projek merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 406 m dari arah Miri dan 390 m dari arah Marudi.

Uggah berkata, pecahan dana pembangunan projek itu adalah Projek Rakyat sebanyak 19 projek bernilai RM548,006,754 dan RMK-12, satu projek bernilai RM68 juta.

Beliau menegaskan, daripada jumlah ini, JKR telah menyiapkan enam projek bernilai RM187.7 juta, manakala satu lagi sedang dalam pembinaan dan baki 13 projek lagi bernilai RM422.3 juta akan ditender pada tahun ini.

Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, katanya, negeri ini sekarang terus dengan trajektori pembangunannya untuk menjadi wilayah yang pesat membangun pada hari ini.

Projek-projek pembangunan terutamanya projek pembangunan infrastruktur dan projek berjiwa rakyat yang diilhamkan Premier Sarawak sangat tepat memenuhi keperluan rakyat, tambahnya.

Projek jambatan tersebut hasil usaha sebuah kerajaan yang benar-benar mendengar suara rakyat, tegas beliau.

Semua usaha itu katanya, adalah atas sokongan padu daripada rakyat.

Justeru, beliau menggesa rakyat terus beri sokongan padu kepada Premier Sarawak bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan untuk mencapai status wilayah maju dan moden.