KUCHING: Perhimpunan Agung Tritahunan Saberkas (Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak) Ke-17 kali ini adalah terbesar pernah diadakan.
Perhimpunan itu dihadiri lebih 450 perwakilan dan pemerhati daripada 78 cawangan di seluruh negeri ini.
Presiden Saberkas, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Saberkas yang menyambut ulang tahun Ke-50 tahun ini banyak mencorakkan kepimpinan belia di Sarawak dan mempengaruhi landskap politik Sarawak itu sendiri.
Perhimpunan Agung Tritahunan Saberkas kali ini, sama ada di peringkat Unit, Cawangan mahupun Negeri akan lahir dan muncul wajah-wajah baharu dalam kepimpinan Saberkas yang sentiasa silih berganti mewarnai pelbagai generasi, katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Trihanan Saberkas Ke-17 di sini.
Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menegaskan, sungguhpun Saberkas sudah wujud setengah abad yang lalu, namun terus kekal relevan dan semakin memperkasakan peranannya dalam membangunkan generasi muda hari ini.
Di samping itu, katanya, Saberkas kekal menjadi antara agen utama menyatupadukan kaum dan membantu membangunkan modal insan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga mengenai kemasukan rakyat asing berikutan langkah Kerajaan Persekutuan membenarkan kemasukan tanpa visa kepada warga China dan India mulai 1 Disember lalu.
“Kita mengalu-alukan kedatangan warga China dan India tanpa visa ke negeri bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan ke Sarawak,” tegas beliau.
Katanya, Sarawak mensasar empat juta pelancong datang ke negeri tahun depan.
Langkah berjaga-jaga itu adalah bagi mengelak sebarang permasalah berlaku di negeri ini dan berharap kedatangan pelancong dari China dan India itu dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini, katanya.
“Kita bukan sahaja mengalu-alukan kedatangan pelancong China ke negeri ini malah dari Taiwan, Singapura, Brunei dan juga Thailand untuk ke Sarawak,” tegas beliau.