BINTULU: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu, di sini, hari ini.
Lawatan bertujuan memastikan segala keperluan mangsa banjir dipenuhi serta memantau perkembangan terkini bantuan yang disalurkan serta meminta mereka bersabar.
“Saya berharap mangsa banjir tetap tabah dan bersabar. Kami faham bahawa kehilangan dan kerosakan yang dialami adalah sangat besar,” katanya.
Semasa lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan oleh Yayasan Bintulu Port kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).
Sumbangan di bawah program Bintulu Port Prihatin itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani kepada pengerusi JPBBB Datuk Nyurak Keti dan Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sharbini.