KUCHING: Melindungi keselamatan rakyat, bumi dan generasi masa depan adalah komitmen utama kerajaan daripada mengembangkan ekonomi dan kejayaan politik.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, peningkatan paras air laut dan perubahan pelanta benua menjadi ancaman besar kepada tebing pesisir pantai dan tempat kediaman, kawasan perindustrian dan infrastruktur penting di kawasan pesisir.
“Perancangan proaktif sangat penting di kawasan kediaman, perindustrian dan gangguan ke atas tenaga yang menyebabkan gangguan perkhidmatan penting termasuk pengangkutan, air dan jagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan Prof. Woo Wing Thye dan Leong Yuen Yoong dari Rangkaian Penyelesaian Kelestarian Pembangunan UN (SDSN), Ibu Pejabat Asia, Universiti Sunway di sini.
Lawatan Prof. Woo dan Leong itu bagi mengeratkan kerjasama dalam mewujud kelestarian pembangunan dan menangani perubahan iklim.
Dr. Hazland berkata, melindungi infrastruktur tenaga Sarawak amat penting untuk mencapai kemajuan ekonomi dan kemakmuran.
Satu rancangan komprehensif sangat diperlukan untuk membangunkan kawasan kediaman, perindustrian dan sektor tenaga sesuai dengan keunikan kawasan pesisir dan tanah Sarawak, katanya.
Memahami faktor dan keadaan setempat itu penting bagi menilai risikonya dengan tepat dan menanganinya dengan berkesan, tegas beliau.
Beliau menambah, pendekatan itu membabitkan empat komponen utama.
Lawatan itu juga menanda langkah penting dalam mengeratkan kerjasama antara Sarawak dan masyarakat global bagi menangani perubahan iklim, mencari penyelesaian kelestarian tenaga dan melindungi masa depan untuk generasi akan datang.
Perbincangan mereka fokus kepada keperluan penting untuk menangani jangkaan peningkatan air laut ke atas kawasan kediaman, perindustrian dan sektor tenaga di negeri ini.
Dalam perbincangan itu mereka mendapati cadangan yang dikemukakan sangat penting bagi menjamin keutuhan infrastruktur tenaga daripada ancaman iklim dan untuk perancangan keselamatan kerajaan yang lebih berkesan.