TATAU: Banjir melanda daerah ini Januari lalu disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah sejak 1963.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus merangkap Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, banyak kawasan rendah sepanjang Batang Anap dan Sungai Kakus ditenggelami air dan terputus hubungan termasuk rumah panjang di Sungai Entajum, Sungai Sangan dan Sungai Muput.
“Beberapa kawasan masih dinaiki air 29 Januari lalu dan 4 Februari lalu. Namun, gelombang kedua pada 5 Februari lalu adalah lebih buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis penyerahan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Kakus berjumlah RM256,000 kepada seramai 18 penerima di Pejabat Daerah Tatau, di sini, semalam.
Sementara itu, John Sikie juga menasihatkan penerima dana terbabit merangkumi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan(NGO) sekitar DUN Kakus supaya mengurus peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Sarawak itu bagi manfaat komuniti.
“Gunakan dana ini sebaik-baiknya untuk projek yang benar-benar memanfaat masyarakat. Pastikan perancangan teliti dibuat supaya tiada pembaziran berlaku,” katanya.
Katanya, ini khususnya dalam membantu JKKK melaksanakan aktiviti dan projek seperti membaik pulih rumah panjang masing-masing.
Dalam majlis itu, bantuan makanan asas seperti beras, telur, dan mi segera turut disampaikan kepada mangsa banjir melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Prihatin Bencana 2025 anjuran bersama Sarawak Water Sdn. Bhd dan Sarawak Energy Berhad.