KUALA LUMPUR: Ordinan Pengedaran Gas 2016 (Distribution of Gas Ordinance 2016) akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menyambut baik aspirasi Sarawak untuk terlibat dalam industri minyak di negeri itu.
“DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974 (Akta Kemajuan Petroleum 1974), maka Petros berperanan sebagai agregator di Sarawak,” katanya pada Sesi Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menegaskan bahawa peranan yang diberikan kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tidak menjejaskan kelulusan yang telah diberikan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan anak syarikatnya sebelum ini.
“Ini bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan antarabangsa yang sedia ada,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk memperkukuh kawalan ke atas sumber gas dan minyak di negeri itu, selaras dengan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan PETROS untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak,” tambah Anwar.
