Sarawak,Jepun terokai kerjasama pembangunan tenaga lestari dan industri

JEPUN: Kerajaan Sarawak dan Jepun melalui New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) bermesyuarat bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan tenaga lestari dan industri.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Ibu Pejabat NEDO di Kawasaki hari ini. Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan turut disertai pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Ia dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Eksekutif NEDO, Dr. Iimura Akiko dan Muhammad Abdullah. Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mencapai masa depan yang mampan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Muhammad Abdullah menggalakkan kerjasama lebih lanjut dengan NEDO serta menekankan komitmen Sarawak terhadap inisiatif hijau.

“NEDO telah membentangkan gambaran keseluruhan mengenai projek-projek canggih mereka serta usaha pembangunan antarabangsa dalam bidang utama seperti Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), teknologi hidrogen dan ammonia, sumber tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi kitaran,” menurut kenyataan tersebut.

Delegasi Sarawak telah menggariskan inisiatif negeri serta rangka kerja pembangunan semasa yang berkaitan dengan pelan kelestarian, strategi peralihan tenaga dan matlamat peralihan kepada sifar bersih.

“Pembentangan tersebut menampilkan dedikasi Sarawak untuk menjadi peneraju dalam kelestarian alam sekitar serta tenaga boleh diperbaharui termasuk teknologi hijau.

“Perbincangan juga menonjolkan sokongan sedia ada daripada NEDO terhadap projek mikroalga di Sarawak yang bertujuan menghasilkan bahan api penerbangan lestari (SAF), sekali gus menjadi contoh kukuh kepada kerjasama yang sedang berlangsung,” menurutnya.

Selepas sesi pembentangan, peserta turut terlibat dalam perbincangan dan pertukaran pandangan bagi meneroka peluang projek bersama serta perkongsian pengetahuan.