JEPUN: Delegasi Kerajaan Sarawak yang sedang berada di Jepun meneruskan lawatan kerja dengan melawat Chiyoda Koyasu Research Park Yokohama hari ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel yang mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak berkata, lawatan itu bertujuan memperdalamkan pemahaman delegasi terhadap teknologi inovatif Chiyoda dalam kitar semula karbon dan pengeluaran hidrogen.
Menurut kenyataan hari ini, Chiyoda Corporation, sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka, memberi taklimat kepada delegasi mengenai pelbagai aktivitinya, termasuk penangkapan karbon dioksida (CO₂), penghasilan karbonat daripada sisa konkrit, pengeluaran etilena dan paraxilena daripada CO₂ dan hidrogen (H₂), serta pembuatan gas sintesis (syngas) menggunakan CO₂ sebagai bahan asas.
“Perbincangan juga menumpukan kepada pengeluaran hidrogen, khususnya pembangunan bersama sistem elektrolisis berskala besar dengan Toyota.
“Lawatan ini selari dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan masa depan hijau dan pelepasan sifar bersih (net-zero), berdasarkan perbincangan yang telah diadakan semasa lawatan rasmi beliau ke Tokyo pada Disember 2024.
“Ini juga sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mewujudkan potensi kerjasama dan meneroka kebolehlaksanaan penubuhan kemudahan loji demonstrasi di Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerjasama ini berpotensi meningkatkan keupayaan Sarawak dalam penyelesaian tenaga lestari dan teknologi kitar semula karbon, sekaligus membawa negeri ini lebih dekat kepada pencapaian visi Abang Johari untuk masa depan yang mampan.
Antara anggota delegasi yang turut serta ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datu Abg Ahmad Abg Morni, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Biodiversiti Sarawak Dato Dr. Charlie Yeo serta Pengarah Urusan dan CEO Sarawak Petchem Dato’ Mohammad Ibrahim.