KUCHING: Sarawak memerlukan ramai tenaga kerja mahir terutamanya pengimpal untuk menggerakkan pelbagai projek infrastruktur di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, isu tersebut khususnya pengimpal menjadi dilema kontraktor yang melaksanakan projek di sini.
Katanya, kepakaran pekerja tempatan sangat diperlukan berikutan kesukaran untuk menggaji pekerja asing berikutan peraturan ketat imigresen.
“Saya telah diberitahu tentang masalah ini oleh kontraktor. Ia juga bukan mudah untuk mereka menggaji warga asing kerana peraturan imigresen yang ketat.
“Jadi saya harap Kolej Universiti i-Cats boleh memainkan peranan di sini untuk mengatasi masalah ini,” katanya semasa menerima kunjungan hormat delegasi dari Kolej Universiti i – Cats yang diketuai naib canselor dan presidennya Prof Emeritus Datuk Ts Dr Mohamad Kadim Suaidi di pejabatnya, hari ini.
Menurut Uggah, Sarawak pimpinan Premier Sarawak Tun Openg sedang giat melaksanakan pelbagai projek mega di seluruh negeri dalam usaha menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
Malah katanya, kementerian beliau iaitu Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan diperuntukkan dana kira-kira RM30 bilion untuk melaksanakan projek-projek tersebut.
“Terdapat dua projek besar dalam perancangan. Ia adalah lapangan terbang baharu untuk Kuching dan pelabuhan laut dalam baharu kedua-duanya di Tanjung Embang.
” Jadi Premier Sarawak kita mempunyai beberapa tugas yang sangat besar untuk i-Cats ,” tambah Uggah.
Sementara itu, Mohamad Kadim dalam ucapannya berkata kolej universiti itu berharap dapat mencapai status universiti sepenuhnya menjelang tahun depan.
“Kami sedang berusaha dengan sangat serius ke arah ini. Kolej Universiti i – Cats adalah institusi pengajian tinggi milik kerajaan juga.
” Ia dimiliki oleh Yayasan Sarawak pemegang saham utamanya dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak. Kami mempunyai pusat untuk melatih pekerja mahir termasuk pengimpal juga,” katanya.
Katanya, kampus tetap i – Cats akan dibangunkan di atas tapak seluas 220 ekar di Trombol, iaitu kira-kira 40 kilometer (km) dari pusat bandar.
“Kami menyasarkan untuk memindahkan semua fakulti teknologi dan sains ke kampus baharu ini dan untuk yang lain kekal di kampus semasa di Jalan Stampin Timur,” katanya.