SARIKEI: Kampung Debah, kampung asal Sarikei akan dibangun secara komersial bagi memastikan nilai tambah aset kepada pemilik tanah.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pelan induk pembangunan kampung berkenaan dipersetujui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pemilik tanah juga akan dibayar pampasan dan digantikan dengan perumahan seperti Darul Hana di lokasi baharu bersebelahan tapak taman agro,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Kuala Rajang di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei semalam.
Selain itu katanya, Kampung Warisan, Susur Jambu turut menerima limpahan pembangunan dengan dua projek utama iaitu Pembinaan Surau dan Dewan Serbaguna melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang bernilai RM2 juta.
Untuk memastikan Sarikei terus membangun, katanya beberapa projek juga akan dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan infrastuktur agar ekonomi dapat dikembangkan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Dedahnya, antara projek yang diluluskan ialah Anjung Usahawan bernilai RM15 juta untuk memenuhi keperluan usahawan kecil di Sarikei yang kini masih dalam proses membuka rekabentuk.
Terdahulu jelas Len, lokasi pembinaan Jambatan Batang Rajang dipilih khusus untuk memastikan Bandar Sarikei dan Bintangor dapat dibangunkan bersama-sama sejak 30 tahun yang lalu.
GAMBAR:UKAS
