SARIKEI: Seramai 51 pemilik tanah menerima cek pampasan bagi Projek Jalan SK Muara Payang di Kampung Bugis/Bukit Huang/Skim Muara Payang, di sini, hari ini.
Mereka menerima cek pampasan berjumlah RM644,995.60 bagi projek jalan sepanjang tujuh kilometer (km) di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei.
Projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan akan dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak (JPS) itu bernilai RM45 juta.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengambilan tanah tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.
“Kerajaan Sarawak mahu memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati hasil pembangunan seiring kemajuan rakyat yang tinggal di bandar,” katanya.
