SIBU: Kerjasama antara pemimpin dan kakitangan kerajaan semasa menjalankan tugas amat penting demi memuaskan hati masyarakat umum.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, walaupun mungkin tidak sehaluan dalam berapa pendekatan yang digunakan, tetapi apa yang penting adalah hasil kerja memberi impak kepada kehendak rakyat.
“Itu matlamat, amanah dan peranan yang harus kita pikul sebagai pemimpin dan juga kakitangan kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau demikian semasa berucap pada Majlis Berlanggar Meja Warna Warni Riang Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sibu, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berharap program seperti itu diteruskan semasa sambutan Gawai Dayak, Krismas dan juga Tahun Baharu Cina.
“Sesungguhnya di Sarawak, kita mengamalkan konsep toleransi dan kerjasama di antara kaum yang begitu akrab,” katanya
