DBP raikan rakan strategik dan sasterawan Sarawak

KUCHING: Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak memperkukuh sinergi bersama pelbagai agensi negeri dan persekutuan, media, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan lain penting dalam memperluas manfaat serta impak inisiatif kebahasaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Safiee Ahmad, DBP berdepan cabaran utama adalah memperkasa penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Katanya, Sarawak merupakan negeri yang luas, hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia, serta unik kerana kepelbagaian etnik yang dimilikinya.

“Namun dalam masa sama, DBP turut berperanan membantu memelihara dan memperkasa bahasa-bahasa etnik agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya semasa merasmikan Majlis Lestari Bahasa 2025 anjuran DBP Cawangan Sarawak di sini malam tadi.

Terdahulu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa penganjuran majlis ini bertujuan menghargai sumbangan agensi kerajaan, media dan individu yang telah bekerjasama dalam pelaksanaan program-program berkaitan bahasa, sastera dan penerbitan sepanjang 2024.

“DBP Cawangan Sarawak sentiasa bersedia menyumbangkan kepakaran kepada mana-mana pihak yang berminat dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan mahupun penerbitan buku,” jelas beliau.

Pada majlis ini, Anugerah Tinta Warta DBP dianugerahkan kepada Rudi Affendi Khalik sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam bentuk idea, pandangan dan sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan.

Sementara itu, dua individu telah menerima Anugerah Tokoh Lestari sebagai pengiktirafan atas penglibatan aktif mereka dalam memartabatkan bahasa di Bumi Kenyalang.

DBP turut menyampaikan Watikah Penghargaan Citra Rakan Sinergi kepada 31 rakan strategik, merangkumi 17 agensi awam, lapan pengamal media dan enam pertubuhan bukan kerajaan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak (SUPS) Dato Ahmad Nadzri Mohd. Hassan, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Abang Haliman Abang Julai dan Ahli Lembaga Pengelola DBP Dato Dr. Jeniri Amir.