Abang Johari teruskan kunjungan Aidilfitri di kediaman Setiausaha Kerajaan Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kemeriahan Aidilfitri dengan berkunjung ke majlis rumah terbuka kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Ketibaan beliau pada jam 8.25 malam tadi disambut mesra oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang dan ahli keluarga beliau.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat dan jemputan khas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman menambah seri majlis dan mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin negeri.

Selain menjadi wadah pertemuan pemimpin dan rakyat, majlis ini turut memperkukuhkan ikatan silaturahim dalam suasana Syawal yang penuh keberkatan.