Jambatan Sungai Paku dijangka siap hujung 2025

SPAOH: Penantian warga daerah kecil di sini untuk menyaksikan Jambatan Sungai Paku siap sepenuhnya bakal direalisasikan pada penghujung tahun ini.

Berita gembira itu diumumkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sambil menambah beliau diberi jaminan daripada kontraktor projek itu semasa melawat tapak pembinaannya awal tahun ini.

Katanya, jambatan keluli sepanjang 107 meter (m) yang berharga RM36.9 juta itu pernah menjadi projek sakit, namun telah diteruskan oleh kontraktor penyelamat yang dilantik Mei 2023.

“Jika jambatan Batang Lupar 1 berharga RM375.5 juta dan sepanjang 4.8 kilometer (km) yang melintasi Batang Lupar dapat disiapkan pada penghujung tahun ini, saya tidak nampak mengapa projek jambatan Sungai Paku yang lebih pendek dan lebih murah tidak dapat disiapkan pada masa sama.

“Untuk rekod, jambatan Batang Lupar 1 akan menjadi jambatan terpanjang merentasi sungai apabila ia siap,” katanya pada Ramah Tamah Hari Raya anjuran masyarakat Kampung Spaoh hari ini.

Uggah yang juga ADUN Bukit Saban turut mengumumkan beberapa projek pembangunan bernilai RM91.5 juta untuk Spaoh.

Beliau berkata, sejumlah RM50 juta diperuntukkan untuk melakukan sistem perparitan dan pengairan di Taman Agro Bebuling.

“Meliputi kawasan seluas kira-kira 1000 ekar, ia
akan menempatkan salah satu rumah hijau terbesar di negeri ini.

“Kami telah melantik tiga syarikat utama untuk menerajui pembangunannya,” katanya.