Projek mega bakal bawa limpahan ekonomi pada penduduk

SAMARAHAN: Penduduk di Kota Samarahan khususnya di Asajaya disaran merebut pelbagai peluang dalam sektor pendidikan dan ekonomi yang bakal muncul susulan pembangunan projek mega di kawasan Tanjung Embang.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu diyakini akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya.

Katanya, projek mega itu juga dijangka mengubah landskap ekonomi dan menaikkan nilai hartanah.

“Masyarakat di sini (Asajaya) mahu melihat pembangunan iaitu projek seperti lapangan terbang, pelabuhan dan jaringan jalan raya akan membawa limpahan manfaat kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Asajaya di Dewan Pancha Delima SMK Hajjah Laila Taib, Asajaya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menyentuh keperluan untuk memperbesar Pusat Penjaja Tambirat, sejajar dengan pembangunan dua projek besar itu, selain pembinaan sebuah lagi jambatan baharu bagi menghubungkan pulau-pulau buatan dengan kawasan Tambirat dan Sambir.

“Inisiatif ini akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pertumbuhan baharu,” jelas beliau.

Beliau turut menzahirkan rasa gembira terhadap sambutan yang diterima oleh Pusat Penjaja Tambirat yang kini menjadi tarikan pelancong dan tumpuan penduduk.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 53 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Asajaya.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Desmond Jerukan, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan Liew Shark Sen.