KUCHING: Bakal jemaah haji Sarawak musim haji 1446H/2025M menerima suntikan semangat dan ilmu menerusi Kursus Perdana Haji Zon Selatan di Masjid Jamek, di sini, semalam.
Ia sebagai persediaan untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah dari Kuching dan Sri Aman.
Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) ini merupakan kemuncak kepada siri bimbingan ibadah haji yang disediakan setiap tahun, bertujuan memberi pemahaman mendalam, latihan praktikal dan panduan rohani kepada bakal jemaah.
Ia bukan sahaja memberi panduan tentang pelaksanaan ibadah, bahkan turut membabitkan taklimat kesihatan, pengurusan perjalanan dan adab di Tanah Suci, yang merupakan elemen penting demi menjamin kesejahteraan jemaah sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
Dalam kesempatan itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan atas komitmen TH.
Beliau turut mendoakan agar semua urusan jemaah dipermudahkan serta mendapat haji mabrur.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai serta beberapa tokoh agama dan pentadbir agensi Islam Sarawak.- UKAS
