‘Ngabas Anak Sarawak’ inisiatif MEITD dekati pelajar Sarawak seluruh negara

PULAU PINANG: Program ‘Ngabas Anak Sarawak’, merupakan inisiatif terbaru Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Ia menjadi wadah dalam merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan pelajar Sarawak yang menuntut di seluruh negara.

Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang menjadi lokasi pertama program julung kali diadakan dirasmikan oleh Menteri MEITD, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn hari ini.

Dalam ucapannya, Roland Sagah berkata kementeriannya sentiasa komited dalam memastikan anak-anak Sarawak di perantauan sentiasa mendapat sokongan dari segi pendidikan, peluang kerjaya dan pembangunan bakat serta mendapatkan informasi visi dan misi Kerajaan Sarawak.

Katanya, antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuk bantuan laptop percuma bernilai RM3,000, baucar buku tahunan bernilai RM500 serta Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak RM1,200 setahun kepada pelajar Sarawak di seluruh Malaysia.

“Penganjuran ini merupakan langkah awal dalam usaha kementerian mendekati lebih 58,000 pelajar Sarawak di seluruh negara, termasuk 27,000 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan 31,000 di IPT swasta.

“Program ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak melupakan anak-anak Sarawak di perantauan.

“Kami mahu anak-anak Sarawak terus berhubung dengan tanah air dan tahu bahawa Sarawak sentiasa menyokong perjalanan akademik dan kerjaya meraka,” katanya.

Kesinambungan katanya, program tersebut akan diteruskan di negeri-negeri lain untuk memberikan pendedahan serta inisiatif hala tuju pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Sarawak.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri kira-kira 300 pelajar daripada pelbagai IPTA/IPTS dari seluruh Semenanjung, termasuk dari Perlis, Kedah dan Perak.

Dalam pada itu, turut diadakan sesi Forum bersama Timbalan Menteri MEITD (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman yang mengupas berhubung hala tuju Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) dan peranan penting pelajar di Sarawak.

Beberapa agensi kerajaan negeri dan IPT turut sama menjayakan program berkenaan antaranya Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Perhubungan Sarawak (Rumah Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), SMD Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills, Yayasan Sarawak dan Sarawak Volunteers.