Sarawak, Singapura perkukuh kerjasama sektor air dan tenaga

KUCHING: Sarawak dan Singapura memperkukuhkan kerjasama dalam sektor air dan tenaga bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-17, Perkongsian Untuk Mencapai Matlamat.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, kerjasama strategik itu adalah kunci utama dalam mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050, selain membuka peluang pertumbuhan ekonomi.

Katanya, untuk mencari solusi bersama, semua pemain global saling bekerjsama dan bukannya bersaing.

“Cabaran seperti perubahan iklim dan kebergantungan terhadap bahan api fosil memerlukan penyelesaian bersama,” katanya semasa menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Air Singapura (SWA) di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Dr Hazland, pendekatan kolaboratif ini turut merangkumi pelbagai potensi air, bukan sahaja sebagai keperluan asas, malah sebagai sumber tenaga, pengangkutan dan bahan mentah industri seperti mikroalga.

“Pengetahuan tidak hanya terletak pada pihak kerajaan.

“Industri dan masyarakat juga memiliki kepakaran yang boleh dipersatukan bersama untuk pertumbuhan mampan,” jelas beliau.

Katanya, kerjasama Sarawak-Singapura ini dijangka membuka lembaran baharu ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan SWA Michael Toh turut menyatakan keterbukaan mereka untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam aspek teknologi dan inovasi berkaitan pengurusan air dan tenaga boleh diperbaharui.