Usaha dokumentasi budaya kaum Melanau perlu dipergiat

SIBU: Pendekatan sistematik perlu diperkenal untuk mendokumentasi budaya serta bahasa kaum Melanau agar tidak hilang dalam arus kemodenan zaman.

Saranan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh kerana bimbang terhadap trend penurunan penggunaan bahasa Melanau.

Ke arah itu katanya, usaha sedang digiatkan menerusi kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membukukan istilah serta elemen budaya yang kini hanya diwarisi secara lisan.

“Kita sedang berusaha membukukan istilah dan budaya Melanau. Selama ini, budaya Melanau banyak dituturkan secara lisan. Jika tiada dokumentasi, ia akan hilang begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berlanggar Meja anjuran Persatuan Melanau Sibu (PMS) 2025 di sini, semalam.

Beliau turut menyentuh soal kepelbagaian dialek Melanau yang sering dikaitkan dengan kawasan sungai.

Namun, katanya, kemajuan rangkaian jalan raya membantu merapatkan hubungan antara komuniti dari pelbagai daerah, sekali gus menyatukan masyarakat Melanau secara keseluruhan.

Menyentuh perkara lain, Len berkata usaha penyusunan dan pengukuhan semula persatuan kaum Melanau di seluruh Sarawak juga sedang giat dijalankan.

Inisiatif ini katanya dijalankan secara kolaboratif dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau dan Yayasan Mukah bagi mewujudkan sistem pentadbiran persatuan yang lebih tersusun.

Len turut memuji peranan Persatuan Melanau Sibu (PMS) sebagai antara organisasi paling lama wujud dalam sejarah komuniti Melanau, sejak penubuhannya pada tahun 1958.

Katanya, Sibu menempatkan populasi Melanau yang besar, termasuk dari kawasan seperti Mukah, Igan, Matu, Daro dan Rajang. PMS wajar dijadikan contoh dalam memacu usaha memperkasa komuniti.