KUCHING: Selepas 12 tahun, temasya Sukan Borneo kembali dihidupkan semula dengan Sarawak menawarkan diri sebagai tuan rumah pada tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sukan Borneo yang menjadi legasi penting kepada penggiat sukan di rantau ini wajar dihidupkan semula.
“Dengan sejarah penganjuran pertamanya pada 1955 dan terakhir pada 2013 di Labuan, temasya ini menjadi simbol perpaduan, semangat kesukanan, dan jalinan budaya antara wilayah Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas turut serta dalam kunjungan hormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Menurut beliau, objektif ini untuk memupuk semangat kesukanan dan persahabatan dalam kalangan belia Borneo, mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan unggul sekaligus memperkukuh hubungan diplomatik, budaya dan sosial antara wilayah serumpun
Sebelum ini, Premier Sarawak telah menyatakan kesediaan dan sokongan penuh kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah edisi baharu Sukan Borneo dan hasrat ini turut disuarakan semasa Majlis Makan Malam Rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Tertinggi Sukan Borneo, sebuah badan rasmi terdiri daripada menteri-menteri serta ketua jabatan sukan dari enam wilayah iaitu Brunei Darussalam, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat. – UKAS
