Dewan baharu RM4 juta untuk Kpg Nyabor

KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan peruntukan bernilai RM4 juta untuk membina sebuah dewan masyarakat baharu di Kampung Nyabor di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, dewan masyarakat itu apabila siap kelak akan memudahkan penduduk kampung melaksanakan aktiviti sukan dan riadah.

Pembinaan dewan masyarakat tersebut akan bermula sebaik sahaja dokumentasi, kontraktor serta proses tender dilakukan, dan lokasi tapak pembinaan dewan itu telah dikenal pasti, katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Masjid Tok Amal, Kampung Nyabor, dekat sini semalam.

Chee Kadir berkata, Dewan Masyarakat Kampung Nyabor yang bakal dibina itu adalah bagi menggantikan dewan sedia ada yang terbakar Februari 2022.

Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyempurnakan simbolik penyampaian geran khas projek kerajaan Sarawak kepada Masjid Tok Amal Kampung Nyabor berjumlah RM5,000.

Turut hadir Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Tok Amal Nyabor, Penghulu Abdul Wahab Samsu, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Nyabor (LAKIN), Ustaz Hamsawi Mohd Madeka dan Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong, Abdullah Sulaiman.