Dasar kelestarian alam sekitar kurangkan kebergantungan terhadap hasil hutan

KUCHING: Inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menekankan dasar kelestarian alam sekitar mengurangkan kebergantungan terhadap hasil hutan khususnya pembalakan sebagai sumber ekonomi utama negeri ini.

Menurut Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, dasar yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah mengubah landskap ekonomi Sarawak, yang turut memelihara sumber hutan negeri.

“Kalau kita lihat dahulu iaitu daripada 50 tahun lalu, pendapatan daripada sektor hutan ini yang banyak digunakan untuk membangunkan negeri Sarawak.

“Sekarang, Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak berjaya membuka sumber-sumber pendapatan lain selain daripada ini (sektor perhutanan).

“Usaha kita sekarang hendak mentransformasikan sektor perhutanan wilayah ini kepada pemeliharaan kawasan-kawasan hutan kita,” katanya kepada media semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Hutan Sarawak di Dewan SABATI, di sini hari ini.

Katanya, Sarawak masih mampu mengekalkan peratusan kawasan hutan di Sarawak, malah merupakan wilayah yang diliputi kawasan hutan yang terbesar di Malaysia, meskipun amat bergantung kepada hasil hutan selama setengah abad yang lalu.

Katanya, Jabatan Hutan Sarawak bersama agensi-agensi berkaitan berusaha menjalankan aktiviti pemuliharaan hutan melalui inisiatif Kerajaan Sarawak termasuk penanaman semula pokok dalam skala besar.