KUCHING: Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan AKYBMS, kunjungan bertujuan membentangkan status dan perkembangan terkini AKYBMS serta membincangkan usaha memperkasa dan memelihara warisan budaya Melayu di Sarawak.
Pada kunjungan itu, AKYBMS turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menghadiri Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2025 di Hotel Riverside Majestic di sini, pada 23 April depan.
Selain itu, satu taklimat ringkas turut diberikan berkenaan projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak yang sedang dirancang.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Pengerusi; Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan Ahli-ahlinya AKYBMS; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri di Pejabat Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Dr. Wahbi Junaidi, Setiausaha LPA AKYBMS; Datu Abdul Razak Tready, Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr. Sanib Said, Konsultan Projek Wisma Melayu Sarawak, Ar. Ahmad Sura Awang dan Mohamad Afrizan Mohammed serta kakitangan AKYBMS, Amirul Akbar Osman.
