SK433 AKW tingkat pembangunansosioekonomi

KUCHING: Projek penggerudian SK433 Adong Kechil Barat di Miri dijangka memulakan pengeluaran minyak dan gas pada 2026, memberikan peluang besar untuk memanfaatkan sumber alam Sarawak.

Projek ini, yang dikendalikan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), bertujuan mempertingkatkan pengeluaran minyak dan gas dari daratan, serta membuka ruang untuk lebih banyak aktiviti pengeluaran pada masa depan.

Menurut Naib Presiden Kanan PETROS, Datuk Abang Arabi Abang Narudin, pembangunan infrastruktur seperti jalan akses, terminal pemindahan minyak mentah, dan loji janakuasa gas sedang giat dijalankan.

“Selain itu, PETROS juga bekerjasama dengan agensi kerajaan dan rakan strategik untuk membangunkan inisiatif gas-ke-tenaga serta pembangunan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada suku kedua tahun ini, Abang Arabi menambah, pemerolehan data daratan akan dimulakan menggunakan teknologi Gradiometer Graviti Tenso Penuh Dipertingkatkan (eFTG) untuk memahami lebih lanjut mengenai potensi hidrokarbon dan mineral di kawasan tersebut.

PETROS juga menjalankan penilaian risiko dan peningkatan infrastruktur di beberapa kawasan seperti Oya, Mukah, Balingian, dan Miri, katanya.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor tenaga, tetapi untuk membuka peluang pekerjaan dan memperbaiki taraf hidup masyarakat melalui pembangunan ekonomi yang lebih mampan,” tambah beliau.