KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan program Latihan Google Certified Educators (Levels 1 & 2) di bawah inisiatif Google for Education.
UNIMAS yang bekerjasama dengan Google melaksanakan inisiatif itu untuk memajukan transformasi digital dalam pendidikan.
Diadakan mulai 14 hingga 16 April lalu dan dijayakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Digital UNIMAS dengan kerjasama Google, latihan itu bertujuan melengkapkan kakitangan akademik supaya cekap menggunakan Google sebagai alat pendidikan dan meningkatkan pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Sri Panglima Sulong Matjeraie pada majlis penutupan program itu menyampaikan sijil kepada kakitangan akademik yang lulus Peringkat Satu dan Dua.
Program Google Certified Educators menawarkan Sijil Peringkat Satu dan Dua yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hadir sama Ketua Google for Education (Malaysia dan Brunei), Danial Azizan Abdullah Henry dan Ketua Pegawai Digital UNIMAS, Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim.
