TANJONG MANIS: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan pelaksanaan projek baik pulih dan pembinaan ban pertanian di Kampung Tekajong dan Bruit yang telah diluluskan beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, kelewatan ini mengakibatkan banyak kawasan pertanian dimasuki air masin, sekali gus merosakkan tanaman penduduk, menyebabkan kekurangan kawasan pertanian.
Ekoran itu katanya, penduduk kampung menjadi semakin resah menjelang musim penanaman padi pada Jun ini yang menjadi sumber makanan mereka.
Tambahnya lagi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan bernilai RM10 juta hingga RM11 juta untuk membaiki ban tersebut, namun sehingga kini tiada sebarang kerja pembaikan dijalankan.
“Saya memohonlah, kalau tidak silap saya, setahun dua lalu, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan untuk Kampung Tekajong dan Bruit bagi membaiki ban pertanian yang telah rosak tersebut.
“Jadi sehingga kini, kerja-kerja membaiki ban tersebut belum dilaksanakan lagi,” katanya berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Manis di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong semalam.
Justeru, beliau meminta semua pihak berkaitan, termasuk agensi kerajaan, agar mempercepatkan pelaksanaan projek ini demi kebajikan penduduk luar bandar yang bergantung kepada pertanian sebagai sumber rezeki utama.
Sebagai langkah segera, beliau mencadangkan agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak turun padang dan melakukan pembaikan kecil pada ban yang paling kritikal bagi mengurangkan kesan kemasukan air masin.
“Kalau tidak pun kerja utamanya, setidak-tidaknya pihak jabatan turun padang untuk memastikan, mungkin ada sebahagian dari ban tersebut boleh dibaiki dahulu supaya dapat menyelesaikan sementara masalah kemasukan air masin,” katanya lagi. – UKAS