KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dalam usaha mengangkat hak-hak wanita dengan meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang pendidikan, tenaga kerja dan peranan kepimpinan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, lebih ramai wanita kini memegang jawatan penting dalam kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.
“Polisi yang responsif terhadap jantina dan program yang berfokuskan wanita telah membantu mengecilkan jurang antara jantina dan membenarkan wanita mengejar pendidikan dan kerjaya yang dulunya didominasi m lelaki.
“Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah progresif dengan menubuhkan majlis dan jawatankuasa wanita yang memperjuangkan polisi sensitif terhadap isu berkaitan jantina,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (WAIPA) di Damai Lagoon hari ini.
Katanya, wanita juga harus diberikan peluang setara untuk berkecimpung dalam pelbagai bidang yang mereka minati seperti pendidikan, sosial, ekonomi dan politik negara mahupun di peringkat negeri.
Dengan sokongan kuat daripada Kerajaan Sarawak, pemerkasaan wanita telah diterapkan dalam agenda wilayah ini melalui dasar-dasar yang termaktub dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, tambah Abang Johari.
“Walaupun begitu, saya dimaklumkan bahawa wanita kini hanya merangkumi 13.5 peratus Ahli Parlimen dan 16.1 peratus daripada keseluruhan Kerajaan MADANI, termasuk seorang dari Sarawak dan jumlahnya lebih sedikit di peringkat negeri,” ujarnya.
Katanya lagi, wanita sentiasa menunjukkan ketabahan, keberanian dan kebijaksanaan dalam mengatasi apa jua cabaran yang mereka hadapi termasuk kepimpinan, pendidikan dan ekonomi hingga kepada hak asasi manusia dan perkhidmatan di barisan hadapan.
Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Tan Sri Dato (Dr) Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak; ketua-ketua jabatan serta tetamu kenamaan lain.