KOTA KINABALU: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengiktirafan bersama label keselamatan peralatan elektrik dan gas, mengukuhkan kerjasama strategik antara dua negeri itu.
Majlis menandatangani MoU bersejarah itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, memorandum itu membolehkan perkakas elektrik dan gas yang mempunyai label keselamatan yang diiktiraf seperti SIRIM dan diterima pakai di kedua-dua negeri.
“Kita bersetuju supaya mana-mana perkakas elektrik dan gas yang mempunyai label SIRIM dan lain-lain yang berkaitan diterima di kedua-dua, Sabah dan Sarawak.
“Ini supaya ada ‘free flow’ untuk pengiktirafan peralatan elektrik dan gas,” katanya kepada media selepas majlis itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki; Pengarah Pengedaran Gas Sarawak, Kasvenda Kassim serta pegawai kanan dari kedua-dua agensi.
Pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Lias
Dalam perkembangan lain, Julaihi berkata Sarawak bersedia menambah kapasiti bekalan elektrik ke Sabah sehingga 80 megawatt (MW) tertakluk kepada keupayaan sistem grid di negeri jirannya itu.
Katanya, pada peringkat awal, Sarawak telah bersetuju untuk membekalkan sebanyak 30 MW elektrik kepada Sabah dan jumlah itu boleh ditingkatkan mengikut keperluan semasa.
“Pada asalnya kita bersetuju membekalkan 30 MW kepada Sabah, tertakluk kepada siapnya grid di bahagian utara Sarawak dan apabila siap nanti, kita boleh membekalkan 30 MW ataupun kita boleh tingkatkan kepada 50 MW.
“Dan semestinya kalau diperlukan banyak lagi, mungkin kita boleh pertimbangkan kepada 80 MW, tertakluk kepada kemampuan grid di Sabah,” katanya.
Julaihi memberitahu projek pembinaan Grid Utara Sarawak kini memasuki fasa terakhir dengan sasaran siap pada hujung tahun ini.