PADAWAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan tambahan RM600 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini untuk memperkukuh sistem bekalan air di negeri ini.
Katanya, peruntukan besar itu bagi menangani segera isu bekalan air bersih di luar bandar, memandangkan keperluan mendesak masyarakat luar bandar terhadap akses air yang stabil dan berkualiti.
“Masalah bekalan air tidak boleh diselesaikan serta-merta, lebih-lebih lagi dengan cabaran geografi Sarawak yang luas,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek “Acute System” di Jalan Bengoh Danu di sini, semalam.
Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri merancang untuk membangunkan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak bagi menghubungkan loji-loji rawatan utama di seluruh negeri.
Ujarnya, langkah ini bertujuan memastikan bekalan air tidak terganggu walaupun berlaku kerosakan atau keperluan mendadak di satu-satu kawasan.
“Oleh itu, saya menggesa semua pihak memberikan kerjasama agar projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual,” katanya.
Julaihi turut berkongsi tentang kemajuan projek bekalan air di Serian yang melibatkan pembinaan loji rawatan air kecil tambahan di Balai Ringin dan pemasangan sistem paip berskala besar berukuran 900mm.
Jelasnya, projek tersebut menghadapi cabaran teknikal seperti struktur tanah berbatu yang memerlukan sistem ‘jacking’ namun tetap menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila kapasiti bekalan air melebihi permintaan semasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir. Ts. Awg. Mohammad Fadilah Awg Redzuan.
