124 bakal jemaah haji Sarawak berlepas malam ini

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyantuni 142 dhuyufurrahman Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Kehadiran TYT dan Toh Puan menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah selain mendoakan agar kesemua mereka mendapat haji mabrur.

Bakal jemaah haji tersebut berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) jam 11.15 malam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dijadual bertolak ke tanah suci pada jam 4.05 pagi esok menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.

Mereka dijangka tiba di Madinah, pada 7.50 pagi waktu tempatan.

Bagi musim haji 1446H/2025M, Sarawak mencatatkan keseluruhan seramai 817 bakal jemaah yang mana 331 orang adalah jemaah lelaki dan 486 wanita.

Penerbangan bakal-bakal haji Sarawak pada hari ini merupakan penerbangan ke-34 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31,600 bakal jemaah haji Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara Dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.