Sarawak ambil langkah proaktif hadapi status negeri tua menjelang 2028

MELAKA: Sarawak mengambil langkah proaktif menghadapi status negeri tua menjelang 2028, lebih awal berbanding peringkat nasional pada 2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, model Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak menjadi inspirasi membina sistem pemulihan menyeluruh di negeri itu.

“Pendekatan berasaskan rawatan, psikososial, latihan dan pemulihan komuniti amat sesuai untuk warga emas, OKU dan golongan rentan,” katanya ketika lawatan ke pusat berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, Sarawak juga sedang menjalankan kajian menyeluruh berkaitan isu penuaan dan akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Penuaan Sarawak (SICA) 2025 pada Oktober ini di Kuching.

Persidangan tersebut bakal mengetengahkan pelbagai aspek berkaitan termasuk teknologi dalam penjagaan warga emas, sistem sokongan komuniti dan model penjagaan jangka panjang.

Selain itu, kajian khas bertajuk Research on Preparation for An Ageing Sarawak turut sedang dijalankan bagi mengenal pasti cabaran serta keperluan penduduk berumur 60 tahun ke atas di seluruh negeri.

Kajian itu merangkumi 11 bidang utama termasuk keselamatan kewangan, kesihatan, pengangkutan, pembelajaran sepanjang hayat, penjagaan keluarga, peluang pekerjaan serta penglibatan dalam kerja kesukarelawanan.