Tiga kawasan pilihan Pra Penilaian SDGp

KUCHING: Pra Penilaian Sarawak Delta Aspiring UNESCO Global Geopark (SDGp) di kawasan Bau, Kuching dan Santubong diadakan pada 5 hingga 7 Mei lalu.

Ini sebagai langkah Sarawak mencapai pengiktirafan geopark global oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Audit percubaan selama tiga hari ini dikendalikan pasukan pakar diketuai Naib Presiden Global Geoparks Network (GGN), Prof. Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo bersama Prof. Norhayati Ahmad dan Dr. Rapidah Mat Stafa.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu SDGp, Datuk Len Talif Salleh meninjau sesi pra penilaian di Tapak Warisan Santubong, di sini, pada hari ketiga.

Ini seperti Bongkissam, Bukit Maras dan Batu Gambar Sungai Jaong yang antara khazanah arkeologi terpenting di rantau ini yang mencerminkan sejarah perdagangan, agama dan budaya Borneo dari abad ketujuh hingga ke-13 Masehi.

Manakala, Sungai Jaong dan Tanjung Tegok melengkapkan rangkaian tapak warisan kawasan arkeologi luas di Santubong dan suatu ketika dahulu merupakan pusat perdagangan dan industri besi yang signifikan.