Cawangan pertama Universiti Fudan di Sarawak, pemangkin kemajuan perubatan

MIRI: Penubuhan Institut Perubatan Integratif Fudan, cawangan pertama Universiti Fudan di Sarawak, dijangka menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang pendidikan dan perubatan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif tersebut membawa pendekatan baharu dengan menggabungkan perubatan moden dan tradisional menerusi konsep perubatan integratif.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh sistem kesihatan, malah akan memperluas akses kepada pendidikan perubatan bertaraf antarabangsa di Sarawak,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Dua dokumen yang dimeterai ialah Memorandum Penyewaan Bangunan Majlis Bandaraya Miri (MBM) antara MBM dan Imasa Dinasti Group Sdn. Bhd., serta MoU antara Imasa Dinasti dan D’Sunlit Sdn. Bhd. dari Brunei Darussalam bagi menubuhkan kampus institut tersebut di Miri.

Dr. Sim menjelaskan, Sarawak kini berdepan kekurangan doktor dan langkah menubuhkan institusi perubatan seperti ini amat diperlukan.

“Daripada keseluruhan sekolah perubatan di negara ini, Sarawak masih ketinggalan dengan hanya sekitar 4,000 doktor, sedangkan jumlah ideal adalah 6,000 orang,” ujarnya.

Beliau optimis dengan reputasi Universiti Fudan yang tersenarai antara 10 terbaik di Asia, kampus di Miri akan menjadi pusat perubatan integratif yang unggul, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Tambahnya, projek tersebut akan dilaksanakan secara berfasa, dimulakan dengan penubuhan institut dan diikuti perancangan mewujudkan sekolah perubatan serta hospital yang menyokong pembangunan sektor kesihatan Sarawak.

“Ini sejajar dengan aspirasi pendidikan dan kesihatan autonomi yang diperjuangkan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” tegas beliau.

Turut hadir Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew San dan Presiden Fudan Institute of Integrative Medicine, Prof. Dong Jin Cheng.