BINTULU: Anak-anak jati Lawas yang menetap lama di bahagian ini perlu berani mengambil peluang dalam pembangunan pesat bandar ini.
Ini kerana pembangunan ekonomi di Bintulu kini muncul sebagai antara pusat ekonomi dan pelaburan terpenting di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, warga Lawas yang berhijrah ke sini perlu melangkah lebih jauh, bukan sekadar mencari rezeki, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.
“Ramai dari kita sudah berpuluh tahun tinggal di sini. Jangan sekadar bekerja — inilah masa untuk membina sesuatu yang lebih besar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Badudun (Berambeh) Bersama Anak-Anak Jati Lawas di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Mengaitkan semangat hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai simbol kemajuan dan perubahan, Awang Tengah menekankan bahawa pelbagai sektor strategik sedang berkembang di Bintulu.
Antaranya minyak dan gas, hidrogen, teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), pertanian moden serta industri hiliran.
Tambah beliau, projek berskala besar di kawasan seperti Samalaju dan Tanjung Batu menjadikan Bintulu destinasi pelaburan utama negeri, sekali gus membuka ruang luas kepada komuniti tempatan untuk turut serta sebagai penggerak ekonomi, bukan sekadar sebagai pekerja.
“Anak-anak jati Lawas harus tampil sebagai usahawan dan pemain utama dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), rantaian bekalan serta infrastruktur,” katanya.
