KUCHING: Pindaan ke atas Kanun Tanah 2025 bertujuan menyelaras proses pengoperasian, meningkatkan kuasa penguatkuasaan, menghalusi dasar perancangan dan menggabungkan inovasi digital, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Rang Undang-undang (Pindaan) Kanun Tanah 2025 diperkenalkan untuk disesuaikan dengan landskap sosioekonomi di negeri ini, kepesatan ke atas pembangunan, dan menangani kerumitan pengurusan dan pentadbiran tanah yang semakin meningkat.
Dengan berbuat demikian, kerajaan berusaha memoden dan mentadbir urus kerangka kerja tanah untuk masa depan, katanya semasa membentangkan RUU (Pindaan) Kanun Tanah 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, dengan menambahbaik kecekapan pentadbiran dan penjelasan dari segi undang-undang, RUU itu akan mengukuhkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah secara telus, akauntabel dan responsif.
Sistem itu, katanya, selari dengan strategi pembangunan jangka panjang Kerajaan Sarawak dan meningkatkan standard penyampaian pekhidmatan awam.
RUU itu, tegas beliau, akan melengkapkan Sarawak dengan keupayaan yang diperlukan ke atas cabaran berkaitan dengan tadbir urus tanah sambil menyokong pembangunan mampan dan selari dengan hasrat memperluaskan ekonomi dan sosial.
Menurut beliau, apabila kawasan bandar membangun cepat, RUU itu adalah sebagai langkah penting merancang pengurusan dan pentadbiran tanah untuk masa depan.
Ia akan mewujud satu sistem lebih responsif, telus dan berorientasikan perkhidmatan yang boleh memenuhi keperluan pemilik tanah, pelabur, kakitangan awam Sarawak, masyarakat setempat dan rakyat secara keseluruhannya, katanya.
Pindaan ke atas RUU Kanun Tanah itu, katanya, membabitkan pelbagai bahagian undang-undang sedia ada bagi menjamin sistem pengurusan dan pentadbiran tanah kekal cekap, boleh diterima dan selari dengan amalan terbaik peraturan pentadbiran dan pengurusan tanah sedia ada.
Pindaan itu membabitkan 24 seksyen berserta pengenalan tiga seksyen baharu meliputi bidang penting pengurusan dan pentadbiran tanah, interpretasi undang-undang, mekanisme penguatkuasaan dan transformasi digital.
