55,184 individu berpendapatan rendah terima bantuan kebajikan

KUCHING: Seramai 55,184 individu berpendapatan rendah di seluruh Sarawak menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ia membabitkan jumlah perbelanjaan mencecah RM98.8 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut melibatkan pelbagai kategori penerima termasuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit terlantar dan golongan belia.

“Sebanyak 45,240 penerima mendapat bantuan bulanan di bawah peruntukan Persekutuan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM1,198 sebulan.

“Manakala 9,944 penerima lagi menerima bantuan am negeri berdasarkan PGK negeri sebanyak RM990,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 hari ini.

Antara pecahan bantuan tersebut ialah, Bantuan Warga Emas: 21,604 penerima (RM51.3 juta), Bantuan Kanak-Kanak: 6,580 penerima (RM102.2 juta), Bantuan Am: 9,935 penerima (RM8.97 juta), Elaun Pekerja OKU (EPOKU): 3,445 penerima (RM6.12 juta), Bantuan Penjagaan OKU / Pesakit Terlantar: 2,356 penerima (RM4.64 juta), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB): 11,230 penerima (RM15.5 juta), Bantuan Anak Pelihara: 25 penerima (RM29,000) dan Bantuan Belia-Beliawanis: sembilan penerima (RM3,200).

Dalam pada itu, Fatimah turut memaklumkan bahawa seramai 1,323 penerima bantuan kebajikan direkodkan di DUN Bukit Begunan sahaja dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM622,000.