KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-Daro, Safiee Ahmad merakamkan terima kasih kepda Kerajaan Sarawak pimpinan Premeir Sarawak, khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak kerana berjaya menunaikan impian dan harapan rakyat.
Beliau berkata, jika dahulu hampir 60 kawasan di DUN Daro tiada bekalan elektrik, tetapi sekarang hampir kesemua kampung dan rumah panjang menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Cuma kini, hanya tinggal satu pakej Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang masih dalam pelaksanaan, katanya semasa membahas usul ucapan terima kasih atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Menurut Safiee, begitu juga dengan kemudahan telekomunikasi, hampir kesemua penempatan di kawasannya menikmati rangkaian telekomunikasi 4G.
“Kini hanya tinggal dua menara sahaja lagi di bawah program JENDELA yang dilaksanakan oleh Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka akan siap pada suku ketiga tahun ini,” katanya.
Manakala yang lain, khususnya di bawah Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah beroperasi sepenuhnya, katanya dan menambah, ini bermakna 16 daripada 18 menara, telah siap sepenuhnya dan dilengkapi dengan alatan telekomunikasi.
Selain itu, tambah beliau, tujuh rumah panjang di penempatan Sungai Passin, merupakan sebuah penempatan paling jauh di hulu sungai menikmati talian 4G, malah turut dilengkapi dengan kemudahan wifi, Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).
Berkenaan bekalan air bersih pula, meskipun belum siap sepenuhnya tetapi banyak loji berjaya dinaiktraf begitu juga dengan projek Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS), katanya.
“Yang membanggakan, usaha melaksanakan kemudahan itu demi kesejahteraan rakyat adalah dilaksanakan dengan dana Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan, sebuah projek yang amat besar impaknya kepada rakyat di Daro dan sekitarnya, ialah projek Jambatan Muara Lassa.
Meskipun dua jambatan yang berhampiran iaitu Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan belum siap sepenuhnya, beliau berkata, namun impaknya sebagai ‘a game changer’ amat dirasai oleh penduduk Daro.
“Tidak dinafikan projek ini bukan sahaja semata-mata sebagai kemudahan perhubungan ataupun konektiviti tetapi berupaya meningkat ekonomi penduduk setempat khususnya peniaga dan usahawan.
“Sehubungan itu, dengan rasa syukur, kami masyarakat di Daro merakamkan setinggi-tinggi terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak khususnya Premier Sarawak yang telah meluluskan projek jambatan yang bernilai hampir RM600 juta ini dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya sebuah pusat atau kolej khusus untuk Tingkatan Enam dibina di daerah Daro.
Setakat ini, pelajar tingkatan enam yang masih menumpang di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro menghadapi masalah kekangan kemudahan kelas dan prasrana lain kerana berkongsi dengan pelajar-pelajar yang lain sehingga terpaksa menghadkan bilangan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6, tambahnya.
Beliau berharap semoga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keutamaan untuk membina sebuah kolej atau sekurang-kurangnya pusat khas untuk tingkatan enam di daerah Daro.
