Segerakan bekalan air terawat ke enam kampung, rumah panjang DUN Kalaka

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu segera menyediakan bekalan air terawat kepada enam kampung dan tujuh rumah panjang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ini kerana mereka sehingga kini masih belum dibekalkan sumber air terawat dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Kampung-kampung itu ialah Kampung Paloh, Kampung Hilir Perpat, Kampung Tengah Perpat, Kampung Hulu Perpat, Kampung Kaba Hulu dan Kampung Kaba Hilir, Rumah (RH) Tanjung Perpat, RH Siti Belanda, RH Christopher, RH Joshua Di Kali Kaba, RH Galing, RH Raweng dan RH Mujah di kawasan Lubok Nibong,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas usul ucapan terima kasih Yang di-Pertua Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Mohamad Duri berkata, masalah itu turut menjejaskan beberapa sekolah dan beliau minta kementerian serta jabatan terbabit memberikan perhatian utama kepada isu terbabit.

Selain itu, beliau juga mencadangkan Kerajaan Sarawak menjadikan DUN Kalaka sebagai pengeluar padi utama di Sarawak dan sebagai permulaan mencadangkan Kampung Kaba sebagai perintis.

“Dengan peruntukan RM4.8 juta daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kami serius menjadikan DUN Kalaka sebagai pengeluar padi utama di Sarawak,” tambahnya.

Menurutnya, DUN Kalaka juga mempunyai banyak kawasan lain yang boleh diterokai dan sekarang mereka sibuk menyediakan jalan-jalan pertanian dan telah menaik taraf jalan itu.