i-CATS, NAICO meterai MoU, buka peluang latihan aeroangkasa

KUCHING: Sarawak terus komited untuk membina keupayaan dalam sektor berteknologi tinggi apabila Kolej Universiti i-CATS memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’25) di Langkawi.

MoU ini menandakan langkah strategik i-CATS dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan penyelidikan dalam bidang aeroangkasa, selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menyasarkan pempelbagaian ekonomi menerusi industri bernilai tinggi.

Menurut i-CATS dalam kenyataan semalam, kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang latihan, pemindahan teknologi serta pembangunan program akademik yang relevan dengan keperluan semasa industri.

“MoU ini bukan sekadar perjanjian simbolik. Ia adalah asas kukuh kepada usaha i-CATS untuk melahirkan jurutera, juruteknik dan penyelidik tempatan yang bersedia menyumbang secara langsung kepada rantaian bekalan aeroangkasa negara,” katanya.

i-CATS kini giat membangunkan keupayaan dalam bidang kejuruteraan sistem, reka bentuk pesawat, avionik, teknologi satelit dan integrasi sistem aeroangkasa yang merupakan bidang-bidang penting dalam pembentukan ekosistem aeroangkasa Sarawak.

Didukung oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), i-CATS turut menyelaraskan usaha akademik dan penyelidikannya dengan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030). Langkah ini bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab bakat dan inovasi dalam teknologi penerbangan dan angkasa lepas.