Perdana Menteri, Premier Sarawak meterai Deklarasi Bersama perkukuh kerjasama industri minyak, gas

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak hari ini menandatangani deklarasi bersama untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam industri minyak dan gas.

Deklarasi bersama itu kemudian ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Menurut deklarasi bersama itu, semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak berkaitan pengedaran gas di Sarawak harus wujud bersama dan dihormati semua pihak termasuk PETRONAS dan PETROS yang menjalankan aktiviti di negeri ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini menjelaskan, PETRONAS akan meneruskan fungsi, kegiatan dan tanggungjawabnya yang diberikan oleh PETRONAS di Malaysia, di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA74) dan peraturannya.

Pihak-pihak terbabit hendaklah terus berusaha bekerjasama bagi menyusun kerangka kerja untuk kepentingan negara dengan mengambil kira aspirasi Negeri Sarawak, kata kenyataan itu.

Kerajaan Negeri Sarawak telah melantik PETROS sebagai aggregator gas mengikut Seksyen 7A Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016 berkuatkuasa mulai 1 Mac 2025.

Pelantikan itu dibuat mengikut kuasa eksekutif Negeri Sarawak yang perlu dihormati oleh semua pihak yang menguruskan perniagaan pemasaran, pengedaran dan bekalan gas kepada pengguna di Negeri Sarawak.

Untuk perjanjian dan persetujuan berkaitan bekalan dan penjualan gas asli kepada pengguna di Negeri Sarawak, peranan PETROS adalah selari dengan pengisytiharan itu.

Mana-mana perjanjian dan persetujuan antara PETRONAS dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga untuk tujuan jualan LNG daripada operasi huluan melalui eksport LNG kepada pihak asing kekal tidak terjejas.

PETRONAS dan PETROS akan berbincang untuk tujuan mengembangkan kerjasama perniagaan bagi keperluan gas domestik Negeri Sarawak dalam bidang berikut:

(a) Kolaborasi bersama ke atas projek untuk melaksanakan 1.2Bscf/d dalam menyokong Hala Tuju Gas Sarawak dan

(b) Tenaga hijau lain, hidrogen dan projek menjana tenaga yang mungkin dilaksanakan oleh PETRONAS dan PETROS, selari hasrat Sarawak untuk menjadi hab tenaga di wilayah ASEAN.

Semua perbincangan berkaitan kolaborasi hendaklah tertakluk kepada wujudnya bidang teknikal dan komersial.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.